‘Berpuasa’, tangkap ikan detik manis tinggal di DoraniHomestay, Sungai Haji Dorani

Gadis Jepun Beraya di Doranihomestay
Gadis Jepun Beraya di Doranihomestay

BAGI segelintir warga kota, fenomena bercuti atau pulang ke kampung halaman mungkin sudah biasa kedengaran. Namun, lain pula tanggapan pelajar Jepun atau negara ‘Matahari Terbit’ yang begitu teruja merasai detik manis bersama keluarga angkat.

Keseronokan ini dapat di lihat ketika penulis bersama pelajar Jepun yang menyertai program pertukaran pelajar dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) berpeluang menginap di DoraniHomestay yang terletak di Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor.

Apa yang menariknya, program lawatan pelajar kali ini diadakan ketika umat Islam menjalani ibadah puasa Ramadan yang lalu. Ikuti paparan menarik penulis bersama pelajar menyelami kehidupan disini bersama keluarga angkat.

Budak U Jepun  puasa di DoraniHomestay
Sabtu
12.15 tengah hari: Menepati ramalan perjalanan yang memakan masa hampir dua jam dari ibu kota, penulis bersama dua lagi rakan sekerja selamat tiba ke perkampungan ini dan disambut Pengurus Homestay Sungai Haji Dorani, Abdul Rahman Daud yang ketika itu memang menantikan kehadiran kami.

Selepas mendengar taklimat ringkas, pelajar diserah kepada keluarga angkat masing-ma­sing, manakala penulis dan rakan diberi kunci bilik penginapan untuk berehat.

1.30 tengah hari: Penulis bersama rakan bersiar-siar melihat persekitaran kampung.

Sedang leka menikmati suasana, keriuhan Ketua Program Lawatan Pelajar, Alim Hanani Hidayat dan dua pelajar Jepun mencuri tumpuan. Mereka begitu seronok mengayuh basikal melihat keindahan di sekitar kampung.

Kegembiraan mereka ini jelas menunjukkan pakej eko pelancongan di Homestay begitu menarik dan tetap menjadi pilihan pelancong yang mahu merasai suasana percutian di desa.

Profesor Madya, Norlaila Yahya berkata, menerusi program pertukaran pelajar, ini memberikan mereka peluang untuk pelajar asing mengenali budaya dan mendekati kehidupan masyarakat di desa.

“Saya yakin, pelajar begitu teruja dan akan berkongsi pengalaman bersama rakan lain ketika pulang semula di tempat mereka,” katanya.

Kenyataan ini turut dipersetujui rakannya, Pegawai Kaunselor, Azah A Rahman yang hadir sama mengikuti program lawatan pelajar di Homestay Sungai Haji Dorani.

3.45 petang: Walaupun cuaca agak terik, tekak pula kering, ibadah puasa tetap diteruskan. Bingkas bangun meneruskan aktiviti seterusnya, penulis dan rakan menuju ke sebuah rumah yang dikenali Mahsuri House terletak di tepi bendang.

Di sini, penulis bertemu pula dengan dua pelajar Jurusan Industri Pelancongan iaitu, Nur Izzati Ibrahim dan Fuziah Fudarizi. Mereka diberi tugasan untuk mengendalikan program pada petang itu. Setelah memastikan semua pelajar sudah berkumpul, setiap pelajar diberi sebatang joran dan umpan untuk aktiviti memancing ikan.

Apabila tiba di tali air sawah, pelajar terus melabuhkan umpan. Teriakan Alim Hanani memecah keheningan petang itu apabila berjaya menaikkan seekor ikan haruan yang di kongsi bersama rakan lain.

Cemburu dengan tangkapan pertama yang dinaikkan, rakan lain cuba memberikan saingan. Puas beralih tempat, namun tangkapan tidak juga diperoleh. Walaupun tidak berjaya, pelajar tetap gembira dan pulang selepas masa yang ditetapkan tamat.

5.30 petang: Cuaca petang semakin redup. Waktu yang paling sesuai untuk membeli juadah berbuka puasa. Pelajar dibawa menaiki kenderaan menuju ke Bazar Ramadan yang terletak di pekan Sungai Besar.

Setiap pelajar dibekalkan dengan wang saku sebanyak RM5 untuk membeli makanan. Mereka begitu kagum ketika turut sama berpeluang merasai kemeriahan membeli pelbagai juadah di Bazar Ramadan.

Riuh juga dibuatnya apabila sekumpulan pelajar Jepun ini singgah ke gerai membeli kuih-muih. Antara pelajar Jepun yang mengikuti program ini, Hatano Tsuzuri berkata ini pe­ngalaman istimewa kerana turut serta membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan.

“Paling menggembirakan apabila saya juga ikut berpuasa. Sudah tentu juadah ini akan saya makan bersama keluarga angkat nanti ketika berbuka, “katanya sambil tersenyum menunjukkan plastik beg merah yang berisi kuih-muih yang dibelinya.

8.30 malam: Selesai berbuka puasa penulis bersama rakan menuju ke kediaman Zakaria Asnawi. Malam itu, semua pelajar jepun me­ngenakan baju kurung. Tidak kurang juga pelajar memperagakan pakaian tradisi mereka iaitu kimono.

Gadis Jepun Beraya di Doranihomestay
Gadis Jepun Beraya di Doranihomestay

Umpama keesokan harinya menyambut raya, semua pelajar kelihatan gembira. Mereka turut diajar teknik menga­nyam ketupat. Kemuncak pada malam itu, dihiasi dengan percikan bunga api. Bukan setakat itu saja, mereka juga begilir-gilir mengacau dodol.

Ahad

8.30 pagi: Menjamu mata melihat kehijauan di bendang pada waktu pagi begitu mendamaikan. Homestay Sungai Haji Dorani cukup terkenal hingga acapkali di pilih menjadi lokasi penggambaran filem dan juga percutian pelancong asing yang cintakan kedamaian.

9.30 pagi: Jadual pada hari kedua agak santai. Pelajar bersama rakan leka bermain congkak. Di samping itu, mereka turut didedahkan dengan aktiviti pertanian orang kampung seperti menumbuk padi.

10.15 pagi: Kami dibawa menaiki kenderaan bersama keluarga angkat menuju ke premis perniagaan yang diusahakan penduduk kampung. Pelajar juga diberitahu, selain mengusahakan tanaman padi, penduduk kampung turut menjana pendapatan dengan berniaga makanan ringan seperti kerepek dan baulu.

12.30 tengah hari: Sebelum menamatkan sesi lawatan, pelajar merakam kenangan bersama keluarga angkat. Hadiah cenderahati diberikan buat kenangan.

Penulis dan rakan meninggal­kan kedamaian perkampu­ngan di bendang dengan 1,001 kenangan. Namun, tersimpan di hati untuk kembali lagi menikmati panorama yang mengasyikkan di bendang.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai kemudahan di Homestay Sungai Haji Dorani boleh menghubungi Abdul Rahman Daud di talian 013-6077025 atau mengirim e-mel ke doranihomestay@yahoo.com.

Sumber : Berita Harian-18/9/2010

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*