Selami Kehidupan Desa

Mohafizs Hamzah - Pengalaman menyediakan teh tarik.
Mohafizs Hamzah - Pengalaman menyediakan teh tarik.

Sinar Harian  [12 September 2012]

KALAU penuntut antarabangsa lain di Malaysia lebih gemar bercuti ke tempat peranginan yang selesa, sama ada di Malaysia atau luar negara semasa cuti semester, tidak pula bagi sekumpulan penuntut antarabangsa dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Kampus Putrajaya apabila mereka lebih rela mengikuti program inap desa (homestay) di kawasan kampung.

Walaupun tanpa pendingin hawa dan katil empuk, itu semua ditolak ke tepi, mereka mahu mencuba suasana yang berbeza dan berkenalan dengan masyarakat setempat dengan suasana desa.

Menyertai Kelab Aktiviti Pelajar Pascasiswazah (GAC) Uniten, 26 penuntut antarabangsa ini ke Homestay Kampung Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor. Dua hari satu malam di sana mendedahkan mereka kepada adat, budaya dan kehidupan masyarakat desa.

Ketibaan mereka ke perkampungan tersebut disambut dengan paluan kompang oleh penduduk kampung yang terlibat. Penuntut terbabit kemudian diperkenalkan kepada keluarga angkat masing-masing yang membahasakan diri mereka sebagai “emak” dan “ayah”. Empat penuntut ditempatkan dengan satu keluarga. Selepas sesi pengenalan, setiap keluarga angkat membawa mereka pulang ke rumah untuk makan tengah hari bersama.

“Walaupun kebanyakan hidangan berasaskan masakan kampung, penuntut dapat menyesuaikan diri dengan baik. Mereka juga mengambil peluang ketika makan untuk berinteraksi serta berkenalan lebih dekat dengan keluarga angkat masing-masing.

“Setelah makan tengah hari, peserta mengikuti aktiviti seperti mencanting batik, membuat dan membakar baulu secara tradisional, menumbuk padi serta menggagau ikan keli di sawah padi,” kata Pegawai Media Uniten, Mohafizs Hamzah.

Pengalaman terindah

Menurut Mohafizs, komunikasi dengan penduduk tempatan dipermudahkan oleh jurubahasa mereka, Dr Norlida Alias, penasihat kelab, dan presiden kelab mereka dari Yemen, Abood Tamimy yang agak fasih berbahasa Melayu.

“Pengalaman menggagau ikan begitu menyeronokkan, terutama bagi penuntut yang berjaya menangkap ikan keli dengan tangan mereka sendiri,” katanya.

Sesi pada waktu malam pada hari pertama pula kata Mohafizs, memberi pengalaman yang amat berbeza dan tidak dapat dilupakan setiap peserta.

“Mereka dibawa dengan bot menyelusur sungai untuk melihat kelip-kelip di satu kawasan pedalaman.

“Dalam suasana yang begitu gelap, mereka terpegun dan teruja melihat kerlipan yang begitu banyak pada pokok di situ. Ia satu pengalaman yang mungkin tidak dapat dilupakan,” katanya.

Pelajar dari Iraq, Zahra berkata, impiannya untuk melihat keindahan kelip-kelip sejak kecil telah tercapai melalui program tersebut.

Selain itu kata Mohafizs, selesai melihat kelip-kelip, penuntut disajikan persembahan kuda kepang dengan aksi yang mendebarkan.

Pada keesokan harinya, selepas menikmati sarapan yang menyelerakan dan begitu mengenyangkan, mereka dibawa pula melawat kilang perusahaan memproses dan mengilang kerepek serta nata de coco. Ada yang mengambil peluang bertanya soalan kepada penduduk kampung yang mengusahakan industri tersebut.

“Program inap desa ini memberi peluang kepada penuntut ini untuk merasai suasana kekeluargaan yang mereka rindui. Layanan “ayah” dan “emak” mengingatkan mereka kepada keluarga di negara asal,” katanya.

Terubat rindu

Sementara itu, penuntut dari Iraq, Ali Humada mengakui rindunya kepada ibu bapanya sendiri terubat apabila tinggal bersama dengan emak dan ayah angkatnya di kampung itu.

Bagi Safwa dari Sudan, daripada “emak” dia belajar mengenai cara melayan tetamu dengan baik, manakala daripada “ayah” dia belajar mengenai kesabaran serta bekerja kuat tanpa merungut untuk menyara keluarga.

Zahra dari Iraq pula berkata, dia sukakan desa permai berkenaan dan layanan mesra yang diberikan oleh penduduk tempatan seumpama menginap di hotel lima bintang.

Penuntut dari Yemen, Abood Tamimy berkata, program seperti itu menjalinkan hubungan yang baik antara penuntut antarabangsa dengan penduduk tempatan.

“Kita akan merasakan ada kaitan antara kita dan penduduk Malaysia. Hubungan seperti ini akan membuat kita rasa tenang dan tenteram,” katanya.

Nota: Rencana ini dipertik dari Sinar Harian online

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*