Seronok dapat tinggal di DoraniHomestay

MURID SK Bandar Tun Hussein Onn cuba menumbuk padi menggunakan lesung kayu semasa program inap desa di Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, baru-baru ini.
MURID SK Bandar Tun Hussein Onn cuba menumbuk padi menggunakan lesung kayu semasa program inap desa di Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, baru-baru ini.

SUNGAI BESAR 6 Ogos – Seramai 34 murid dan empat guru Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn, Cheras seronok dapat merasai pengalaman tinggal di kawasan kampung yang jarang dinikmati mereka.

Malah, mereka yang melawat dan tinggal di Homestay Sungai Haji Dorani di sini baru-baru ini mahu mengunjungi tempat itu sekali lagi kerana belum puas berada di situ.

Guru penyelaras lawatan itu, Mohd. Zakiyuddn Kadir berkata, inap desa tersebut menjadi pilihan mereka kerana terdapat pelbagai aktiviti masyarakat setempat yang tidak terdapat di bandar.

Katanya, selama dua hari program itu diadakan, mereka tinggal bersama keluarga angkat dan bersama-sama melakukan pelbagai aktiviti yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Murid-murid ini didedahkan dengan suasana masyarakat dan kawasan perkampungan yang dikelilingi sawah padi yang sebelum ini mereka hanya melihat gambarnya.

“Kami memilih DoraniHomestay di Kampung Sungai Haji Dorani kerana kawasan ini benar-benar menggambarkan suasana kampung,” katanya.

Sepanjang berada di kampung itu, murid terbabit melawat aktiviti mencanting batik, menumbuk padi dengan lesung kayu, memancing belut, melawat ladang mangga, membuat kuih tradisional dan bermain di sawah padi.

Pada sebelah malam pula, mereka menyaksikan persembahan kebudayaan seperti tarian kuda kepang dan nyanyian.

Sementara itu, Pengurus Doranihomestay, Abdul Rahman Daud berkata, tinggal di homestay berkenaan diharap memberikan pengalaman baru dan menjadi kenangan manis kepada murid-murid yang terlibat.

Dipetik dari Utusan Online – 7/8/2008

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*